“Lambat kau hari ini, Ammar.” Dini memandang sekilas.
“Ada hal sikit pagi tadi. Saya masuk kelas dulu ye kak.” Dini hanya mengangguk tanpa memandangnya. Selesai kelasnya petang itu, Ammar menunggu Naz di pejabat Kak Mai. Dia bermain-main dengan pensel di atas meja.
“Mana Naz ni. Dia mendera budak-budak ke apa?” Bebelnya seorang diri.
Kak Mai masuk ke dalam biliknya bersama Naz. Mereka baru sahaja kembali dari stor di tingkat atas untuk mengira stok. Dia menegur Ammar yang masih tidak sedar akan kehadiran mereka. “Apa yang Ammar bebelkan tu?”
Ammar menoleh. “Akak, tak ada apa-apa.” Dia menjengkilkan matanya pada Naz. Mulutnya berkumat-kamit berbisik pada Naz. “Ini, akak nak minta tolong boleh?” Kak Mai menyelongkar file di atas mejanya.
Naz menghampiri Kak Mai. “Tolong apa Kak Mai? Kalau nak suruh Naz susun file-file, Naz minta maaf sangat-sangat. Memang Naz tidak boleh membantu Kak Mai. Naz bukanlah seorang yang boleh bekerja dengan file-file yang menimbun.” Dia melambai-lambai tangannya tanda tidak mahu.
“Apa yang Naz melalut ni?”
“Bukan ke?” Naz tersengih.
“Kak Mai nak minta tolong kau orang berdua belikan barang untuk tuisyen ini. Banyak barang yang sudah habis.” Kak Mai menyerahkan sekeping kertas yang digunakannya tadi untuk mencatit keperluan pusat tuisyennya yang sudah hampir habis.
Kertas bertukar tangan. Ammar menilik setiap perkataan di dalam kertas itu. “Banyaknya kak.” Komennya. Naz menarik kertas itu perlahan. Dia membaca senarai barangan yang perlu di cari nanti. “Ha’ah Kak Mai. Macam mana kita orang nak bawa nanti? Kami ini ahli-ahli kelab motosikal sedunia.”
“Kalau masalah kenderaan jangan risau. Naz dengan Ammar boleh guna kereta yang dekat rumah tu. Yela, walaupun kereta tu sudah lama tapi ianya masih boleh digunakan. Setakat alat-alat tulis, bolehlah nak sumbat dalam Wira.” Kak Mai menyerahkan segugus kunci kepada Ammar.
“Bila nak pergi beli?” Soalnya kepada Naz.
“Petang ini?” Ammar berkira-kira untuk memberi kata putus. Seketika kemudian dia bersuara, “Okay, petang ini dalam pukul tiga aku datang.” Naz mengangguk.
Lewat petang itu, Ammar dan Naz bergerak ke KL Mall untuk mencari barang-barang keperluan pusat tuisyen yang di pesan oleh Kak Mai. Mereka menaiki kereta yang di pinjam daripada Kak Mai. Maklum sahajalah, mereka masih belum mampu untuk membeli kereta sendiri.
Naz yang berada di sebelah tempat memandu membetulkan duduk. “Aku rasa tak sedap hatilah.”
Ammar memandangnya sekilas. “Kenapa pula? Tadi dia yang beriya-iya.” Dahinya berkerut.
Naz mengangkat bahu. “Entah. Macam ada sesuatu yang bakal terjadi hari ini. Apa kata kalau kita cancel? Kita pergi esok sahaja.” Dia merenung Ammar.
“Kita sudah gerakkan. Buang masa kalau mahu berpatah balik. Alang-alang sudah keluar, kita pergi sahajalah.” Ammar masih memandu dengan tenang.
“Baiklah. Aku ikut sahaja.”
Naz cuba mengusir perasaan tidak eloknya. Dia membuka radio untuk menenangkan hati. Mereka bernyanyi bersama-sama apabila lagu kegemarannya berkumandang. “I love you, baby I’m not a monster. Neon al-janha yejeon nae moseubeul shi-gani chinamyeon sarajyeo beoril. Tende keu ttaen al tende baby.”
“Kau memang monster Naz!”
“Apa hal pula aku monster?”
Ammar mengekek ketawa. “Sebab kau garang sangat macam monster.”
Naz memukulnya sebaik sahaja berkata, “Kurang asam jawalah kau ni.” Tangannya laju bergerak. Ammar hilang kawalan sedikit.
Tanpa mereka sedari, traffic light di hadapan mereka sudah bertukar kepada warna merah. Dia tidak sempat mahu berbuat apa-apa. Brek di kaki di tekan kuat namun tidak sempat untuk memberhentikan kereta.
“Bukkk!!!” Mereka sudah berlanggaran dengan kereta Waja di depan. Naz dan Ammar berpandangan.
Naz menggigit bibirnya. Tangannya sudah menggeletar. “Ammar, apa kita nak buat.” Ammar menggeleng. Mereka memerhatikan kereta di depan. Pemandu itu mengisyaratkan supaya mereka berhenti ke tepi setelah traffic light kembali bertukar hijau.
“Ammar aku takut.” Naz menggenggam erat lengannya.
“Kau duduk dalam sahaja. Jangan keluar.” Ammar membuka pintunya keluar. “Perempuan. Susahlah nak settle.” Getus hatinya. Dia menghampiri perempuan itu yang dia kira berusia antara 35 ke 40 tahun. Dia menunduk sedikit serta meminta maaf. “Maaf, puan. Kami tidak sengaja.”
Sambil berpeluk tubuh, dia merenung Ammar tajam. “Maaf? Minta maaf memang senang. Ini, siapa nak tanggung?” Ammar menelan air liur. “Saya tahu saya salah puan, saya minta maaf. Saya akan tanggung semuanya.”
Wanita itu mencebik. “Awak ni ada lesen atau tidak? Kalau saya report polis macam mana?”
“Saya ada lesen dan ianya international license. Kalau puan nak report polis, silakan.” Ammar tenang menjawab.
“Sekarang ini saya tidak boleh lama-lama.” Wanita itu kembali ke keretanya. Dia mengambil sebuah buku nota. “Bagi saya nombor telefon dan nama awak. Saya tak suka betullah bila jadi macam ini. Awak bawa kereta ini, siapa punya?”
Setelah menulis maklumat dirinya, Ammar menyambung tegas, “Ini kereta kakak kawan saya dan saya mendapat kebenaran untuk memandunya.”
Wanita tersebut terus melangkah ke dalam keretanya semula. Sempat dia memesan, “Kalau saya telefon awak, pastikan awak angkat. Jangan cuba-cuba hendak lari!” Dia memecut laju keretanya.
“Gila apa mak cik ini? Laju gila bawa kereta.”
Ammar memeriksa kereta Kak Mai. Mujur sahaja hanya nombor plat yang tertanggal. “Tidaklah kuat sangat aku cium dia. Kalau aku tahu perangai macam itu, tidak adanya aku nak cium dia! Geli aku.” Badannya menggigil sekejap. Dia berlari memasuki perut kereta.
“Macam mana?” Naz menyoal sebaik sahaja dia duduk.
Ammar menggeleng-gelengkan kepala. “Mak cik itu gila kau tahu?” Dia menceritakan apa yang dibualkan mereka.
“Ammar, kita baliklah.”
“Habis, barang-barang macam mana?”
“Kita pergi lain kali sahajalah.” Ammar mengangguk perlahan.
"Ammar, aku minta maaf. Kalau aku tidak memukul engkau, pasti kau tidak akan terleka."
***
“Hello, ini Ammar Ikram?” Tegur satu suara di hujung talian. Ammar mengerut dahinya, ‘Siapa pula ni?’ Dia melihat kembali nombor yang tertera di skrin telefonnya. ‘Nombor tidak di simpan.’
“Ya, saya. Ini siapa?” Soalnya.
“Saya yang awak langgar tadi.”
“Ops, pembetulan ya, puan. Bukan langgar tetapi ‘ter’langgar.” Dia mengetap bibir. Mak cik poyo rupanya.
“Whatever. So bila kita boleh jumpa?” Dia ringkas bertanya.
“Kenapa dengan kereta puan? Ada apa-apa masalahkah?”
“Yes. Masa saya bawa tadi, ekzos kereta saya berbunyi lain dari yang selalu.”
“Jadi, puan mahu saya buat apa? Bayar ganti rugi atau macam mana?”
“Bila saya boleh jumpa awak?”
“Okay begini, puan beritahu saya di mana dan bila saya boleh datang.”
“Sekarang. Saya tunggu di padang berdekatan.”
“Maaf puan, sekarang saya tidak boleh kerana saya di dalam kelas sedang mengajar. Baiklah begini, apa kata kita jumpa pada hari Isnin nanti.”
“Saya tidak mahu nanti awak kata saya menipu.” Wanita itu sudah meninggikan suaranya. Ammar menarik nafasnya.
“Tidak. Saya tidak akan kata puan menipu sebab nanti dekat akhirat biar Allah yang tentukan siapa menipu. Saya percaya kata-kata puan.” Tiada balasan darinya. Beberapa ketika kemudian, barulah wanita tersebut menjawab, “Baiklah. Pagi Isnin kita jumpa di padang ini.” Dia terus mematikan panggilan.
Ammar terkedu. “No manners!! Harap umur sahaja banyak, budi bahasa kurang.” Naz yang sedang memerhatikannya sedari tadi menegur, “Apa kau bising-bising ni?” Dia mengambil buku kedatangan dan menandatangannya.
“Mak cik poyo itulah. Call orang tapi tiada budi bahasa. Tahulah kita salah tapi janganlah nak berlagak sangatkan.”
“Dia call kau?” Ammar mengangguk. “So, apa dia kata?”
Ammar menjawab ringkas, “Jumpa dia pagi Isnin.” Ammar mengambil bukunya dan berlalu ke kelasnya.
“Aku nak ikut.” Naz menjerit perlahan.
Seperti yang dijanjikan, pagi itu Ammar dan Naz menunggu di padang berdekatan rumah mereka. Setengah jam berlalu, namun orang yang di tunggu-tunggu masih belum menampakkan bayangnya. Naz keluar dari perut kereta. “Rimaslah duduk dalam kereta lama-lama.”
Sebuah kereta menghampiri mereka. Naz mendekatkan dirinya pada Ammar dan berbisik perlahan, “Itu ke perempuan poyo yang kau cakap?” Ammar mengangguk kecil. “Kau duduk sini diam-diam.” Dia melangkah ke arah wanita tersebut.
Naz memerhati dari jauh. Dia terlihat wanita itu menaikkan tangannya seperti mahu menampar Ammar. “Wei, melampau betul!! Tidak tahu undang-undang ke?” Naz mengeluarkan telefon bimbitnya. “Aku nak rakam apa yang dia orang buat. Kalau dia nak masuk balai, boleh aku tunjuk video ni dekat polis.”
“Awak, kalau tak ada duit cakap!” Wanita itu meninggikan suaranya.
Ammar dengan tenang menjawab, “Memang saya tak ada duit. Tidak mengapa, saya tidak kisah jika duit saya tidak sebanyak duit puan.” Wanita itu memotong, “Lain kali cakap awal-awal kalau tidak ada duit. Menyusahkan orang sahaja. Aku lempang juga budak ni.”
Ammar menarik nafas panjang dan di lepaskan dengan berat. “Duit tidak menjamin apa-apa. Puan mahu lempang saya? Silakan dan saya tidak akan membalas apa-apa. Beginilah puan, sekarang puan beritahu saya apa yang puan nak saya buat? Kalau puan nak ke balai polis pun, saya tidak kisah.”
“Saya nak awak ganti kereta saya ni.” Katanya tanpa memandang Ammar.
“Baik, saya akan bayar ganti rugi. Berapa yang puan mahu?”
“Saya tak nak duit awak. Saya nak awak baiki kereta saya.”
Sedang mereka berbincang, mereka di datangi sekumpulan polis peronda. Mereka bertanyakan tentang masalah yang sedang mereka bincangkan. Ammar membiarkan wanita itu berbicara tanpa mencelah sedikit pun. Dia sudah malas mahu mnegambil tahu.
Polis itu tergelak kecil dan berkata, “Beginilah puan, hal ini kecil sahaja. Tidak perlulah diperbesarkan.” Polis tersebut memandang Ammar lalu menyambung, “Encik, saya rasa lebih baik encik bawa kereta puan ini ke bengkel dan baikinya. Tidak perlulah membuat laporan polis kerana kemalangan yang berlaku kecil sahaja dan kerosakannya pun sedikit sahaja.”
Ammar tersenyum melihat reaksi wanita itu yang sudah berubah air mukanya. Malu gamaknya apabila di tegur begitu. “Terima kasih, tuan. Saya sudah mengajaknya sejak tadi lagi tetapi puan ini masih mahu tercegat di sini.”
Polis itu beredar setelah berjabat tangan dengannya. Ammar menyuruh wanita itu mengikutnya ke bengkel kereta yang sudah menjadi tempat kebiasaan ibu bapanya menghantar kereta jika ada masalah.
“Saya tidak mahu bengkel bawah jambatan.” Wanita itu memberi kata putus.
‘Ingat dia bagus sangat ke.’ Ammar terus melangkah ke kereta. Dia memecut laju ke bengkel kereta berhampiran. Sesampai mereka di bengkel itu, Ammar memberitahu mekanik cina itu dan menyuruhnya memeriksa kereta wanita itu.
Wanita itu sempat berbual dengannya semasa pemeriksaan sedang dilakukan. Naz mencebik memandang mereka. “Poyo gila nak cakap bahasa cina. Dia ingat dia baguslah?”
“Biarlah dia Naz. Aku malas nak tunggu. Aku pergi settlekan bayaran jap.” Naz mengangguk. Ammar menyelesaikan urusannya di kaunter.
Sesudah kembali, dia tersenyum lebar. “Kau dah kenapa?”
“Kau tahu apa uncle tu cakap?” Naz menggeleng. Dia menyambung, “Itu perempuan, saya rasa dia ada masalah. Dia suruh saya charge awak lebih punya. Tapi saya sudah lama kenal awak jadi saya kasi murahlah. Sini saya kasi tulis RM300 tapi you bayar RM250 sahajalah. Ini sikit punya ma.” Ammar meniru gaya uncle itu bercakap. Naz sudah tergelak melihatnya.
No comments:
Post a Comment