Zafran menghampiri Aqeef di sebuah meja di cafe sekolah. Pinggan yang penuh berisi makanan diletakkan di hadapan Aqeef. Aqeef memandang sekilas makanan yang terhidang di hadapannya. Sekali pandang seperti seorang putera raja dilayan oleh pembantunya. Zafran berlalu pergi setelah makanan yang diambilnya diberikan kepada Aqeef.
“Tengok sana!” Bisik Aliff perlahan. Semua mata memandang ke arah yang ditunjuk olehnya.
“Kau agak-agak, apa hubungan mereka?” Soal Adi pula.
Man pula berkata, “Kau tidak perlulah masuk campur urusan orang. Jaga seluar sendiri sahaja.”
“Mereka macam sudah lama kenallah.” Bisikan-bisikan terus kedengaran di cafe. Aqeef merengus perlahan. Pinggan yang tadinya terletak di hadapannya di ambil lalu di bawa ke meja rakan-rakan sekelasnya yang lain. Zafran yang baru sahaja ingin melangkah keluar dari cafe terhenti di depan pindu masuk.
Aqeef meletakkan pinggan yang penuh itu di hadapan rakan sekelasnya dengan kuat. Mujur sahaja tidak pecah pinggan itu. Tanpa memandang mereka, Aqeef bersuara perlahan. “Makan. Jangan tidak dihabiskan pula.” Dia terus berlalu tanpa mempedulikan mata-mata yang memandangnya.
Sebulan berlalu semenjak peristiwa itu. Zafran masih lagi bersikap seperti selalunya. Dia melayani Aqeef sebaik mungkin sehingga timbul salah faham di antara mereka. Suatu hari, mereka dipanggil oleh guru disiplin.
“Aqeef, sudah berapa kali saya cakap dengan kamu, jangan membuli pelajar lain. Zafran ini, baru sebulan berpindah ke sekolah ini tetapi kamu sudah membuli dia. Apa mahu jadi dengan kamu, Aqeef?”
Aqeef mencebik. Tangannya di masukkan ke dalam poket seluarnya. Dia memandang guru itu dengan tajam. “Cikgu tanya dia sendiri apa yang menyebabkan dia buat semua itu.” Dia terus keluar dari bilik kaunseling itu.
“Apa sebenarnya yang berlaku Zafran?”
Zafran menunduk lalu bersuara. “Maafkan saya cikgu. Ini semua bukan salah Aqeef. Saya sendiri yang mahu melakukan semua itu. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak.”
Guru disiplin yang berwajah kacak dan rambutnya tersisir rapi itu melepaskan keluhan berat. “Sudah lama kamu berdua kenal?”
Zafran mengangguk dan berkata, “Hampir enam tahun.”
“Kenapa kamu bergaduh?”
Zafran mula bercerita. “Tiga tahun lepas, kami berdua pergi ke Maeundong Street. Hari itu merupakan hari terakhir Aqeef menetap di Dobumi kerana dia perlu mengikuti ayahnya ke luar negeri. Saya dengan dia sangat rapat. Jadi kami mahu menghabiskan masa bersama.”
“Kemuadian apa yang terjadi?” Soal guru itu penuh minat. Dia membetulkan duduknya.
“Pada masa itu, saya bergurau dengannya.” Suara Zafran mula mengendur. Aqeef yang berada di luar bilik kaunseling menggenggam tangan. Dia tidak jadi meninggalkan bilik itu apabila dia mendengar Zafran bercerita.
“Aqeef, lepas ini kau dah tak ada, apa aku mahu buat?” Sial Zafran yang ketika itu sedang duduk di sebuah bangku di bahu jalan. Aqeef bergerak menghampirinya. “Kau carilah kawan baru.”
Zafran tergelak kecil. “Siapa yang mahu berkawan dengan kaki pukul orang? Kau sahaja yang berani nak kawan dengan aku.”
“Kau sudah berjanji dengan aku mahu berubahkan.” Aqeef merenung anak mata Zafran. Zafran mengangguk kecil. “Baiklah, aku berubah.”
“Macam inilah kawan aku.” Aqeef memeluk bahunya. Air mukanya berubah sedikit. Dia memandang Aqeef lama. ‘Aku tak boleh nak lepaskan kau pergi.’ Bisik hatinya. Aqeef menoleh ke arah Zafran. “Asal kau pandang aku macam itu?”
Zafran menggeleng laju. Mukanya diraup laju. Aqeef tersengih-sengih memandang sesuatu di hadapannya. “Zaf, kau nampak tak apa aku nampak sekarang ini?” Matanya laju melilau. “Nampak apa?”
Aqeef menjuihkan bibirnya ke arah pusat mesin permainan yang terletak tidak jauh dari kedudukan mereka. “Aku faham.” Kata Zafran perlahan. Tangannya dihulurkan kepada Aqeef. “Tunggu apa lagi?” Matanya melirik ke arah pusat permainan. Aqeef menyambut huluran tangannya. “Mari kita enjoy!”
Guru disiplin itu mengerut dahinya. “Apa yang membuatkan awak berdua bergaduh?”
Zafran menyambung ceritanya setelah menarik nafas panjang. “Selepas kami menghabiskan masa bermain di pusat permainan itu, kami pulang ke rumah.” Zafran menelan air liurnya. Mulutnya berkumat-kamit seolah-olah mahu mengeluarkan kata-kata tetapi tersekat. Dia terdiam lama.
“Awak mahu sambung atau berhenti di sini, Zafran?”
“Semasa dalam perjalan pulang ke rumah, Aqeef kemalangan.” Zafran menunduk lemah. Air matanya mengalir laju. Cikgu Amin menepuk-nepuk belakang badannya. “Sebab itulah Aqeef tidak boleh aktif bersukan lagi?”
Aqeef menyandar pada dinding batu bilik itu. Dia menumbuk-numbuk dadanya kuat. Zafran mengangguk. “Saya yang menyebabkan dia kemalangan.” Mata Cikgu Amin membuntang. Dia menggeleng laju. “Maksud kamu?”
“Pada masa itu, secara tidak sengaja saya menolaknya ke jalan raya yang kebetulan ada sebuah kereta di pandu dengan laju.” Zafran memandang kosong meja di hadapannya. “Dia dilanggar depan mata saya. Darahnya berlemuran di atas jalan raya. Masa itu saya tidak dapat hendak berfikir apa-apa, saya melarikan diri.”
Zafran menyambung, “Keesokan harinya saya dapat tahu kakinya patah teruk dan memerlukan pembedahan. Saya tidak pergi melawatnya kerana saya berasa serba salah.” Dia menunduk. Air matanya deras mengalir. Tanpa segan silu dia teresak-esak di hadapan gurunya itu.
Aqeef menolak pintu bilik dari luar. Dia mencekak kolar baju sekolah Zafran. Tangannya digenggam erat. Satu tumbukan terlepas pada muka Zafran. Zafran tertolak kebelakang dan terduduk di atas lantai jubin. Bibirnya lebam dan darah mengalir di hujungnya. Aqeef terduduk lemah.
Guru disiplin itu hanya mampu menggeleng. Dia menghampiri Aqeef. “Apa yang awak sudah lakukan?” Dia menarik Aqeef dan menyuruhnya supaya duduk di atas kerusi. Kemudiannya dia menghampiri Zafran yang masih kaku di atas lantai. “Awak berdua duduk dalam bilik ini. Selesaikan apa sahaja yang masih belum selesai.”
Guru disiplin yang amat digeruni oleh semua pelajar di sekolah itu melangkah keluar. Aqeef dan Zafran masih kaku seperti tadinya. Aqeef bangun dan ingin melangkah keluar. Dia menolak pintu bilik tetapi tidak bergerak. Dia menumbuk pintu itu kuat. “Shit!!”
Zafran memandangnya. “Aqeef, aku minta maaf.”
“Diam!”
“Aku tahu aku bersalah. Aku tak sepatutnya tinggalkan kau dekat situ. Aku sepatutnya datang melawat kau. Aku tak sengaja mahu menolak kau.” Mulutnya menggigil.
Aqeef menghampirinya semula. Dia menghentak meja kuat. “Aku kata diam! Aku tidak mahu mendengar suara kau. Aku tahu kau tidak sengaja pada masa itu tetapi kenapa kau tinggalkan aku? Kenapa kau tidak ada masa aku perlukan kau sebagai satu-satunya kawan yang aku ada?”
Zafran bersuara gementar. Dia menjadi gagap. “Aku... Aku...”
Aqeef terduduk di kerusinya. “Kenapa bukan tiga tahun lepas kau datang dekat aku dan meminta maaf? Kenapa baru sekarang kau memunculkan diri? Selepas apa yang aku lalui.”
Zafran mendekatinya. Lengannya dipegang. “Aku tak ada kekuatan untuk menghadapi kau.”
Aqeef menepis kuat. “Jadi, aku masih banyak kekuatan untuk menghadapi masalah itu?” Zafran menggeleng laju. Aqeef menyambung, “Kau tahu apa yang aku nak sangat dengar dari kau masa mula-mula kau masuk sekolah ini?” Zafran mengangkat muka. Anak mata Aqeef direnungnya.
“Kau tak rindu pada aku?” Aqeef bersuara perlahan. Dia tersenyum sinis. “Sepatutnya itu yang kau cakapkan pada aku. Bukan kata maaf kau yang aku mahukan. Aku mahukan seorang kawan yang sentiasa ada bersama aku.” Nada suaranya bertukar sayu.
Air mata Zafran turut mengalir saat melihat anak mata Aqeef basah. “Aku takut kau tidak dapat memaafkan aku.”
“Aku sudah tiada sesiapa di dalam hidup aku kecuali kau.”
Zafran mengangguk. “Selama tiga tahun aku cuba cari kau semula tapi tiada seorang pun yang tahu di mana kau berada. Semua cerita yang menimpa kau aku tahu.”
“Tapi itu semua tidak dapat mengubah apa-apa.”
“Aqeef, aku minta maaf.”
“Aku sudah cakap, aku tidak mahu dengar kata maaf dari kau.”
Zafran menyisir rambutnya. “Aku akan lebih rasa bersalah kalau kau tidak memaafkan aku.”
Aqeef diam seketika. Dia kemudiannya berdiri. Tangannya di masukkan ke dalam poket seluarnya. “Baiklah aku maafkan kau tetapi aku ada satu syarat.”
“Apa?”
“Jadi hamba aku selama sebulan.” Aqeef terus melangkah keluar dari bilik itu setelah pintu itu di buka dari luar oleh guru disiplin mereka. Zafran mengerut dahi. “Sebulan?!”
Dia mengecilkan matanya. Giginya diketap kuat. Dia berlari mendapatkan Aqeef yang sudah jauh meninggalkannya. Dia memaut leher Aqeef. “Setahun pun aku sanggup.” Aqeef menolak tubuhnya.
Zafran mendekatinya semula dan memeluk bahunya. “Jom kita pergi makan.” Dia menarik tangan Aqeef dan berlari. Dalam diam, Aqeef tersenyum melihat gelagat kawannya itu.
No comments:
Post a Comment